KUALA LUMPUR: Nama kumpulan Iklim terpahat dalam industri seni tanah air selama 25 tahun. Album Bunga Emas adalah yang terakhir mereka rakamkan bersama sekitar tahun 2006. Selepas itu kumpulan itu berpecah dan anggotanya membawa haluan masing-masing.
Sejak itu nama Iklim semakin sepi daripada media hiburan. Namun, sepanjang waktu itu Saleem selaku vokalis meneruskan kerjaya seni dengan bergerak secara solo. Walaupun menyepi agak lama, lagu mereka masih kuat berkumandang dan sering dimainkan di radio tempatan.
Jika ditanya nama Iklim kepada generasi Y, ramai yang mengenali kumpulan itu yang pernah gah di persada seni. Hanya melalui lagu malar segar milik mereka, nama mereka masih disebut sebagai antara kumpulan yang mempunyai vokalis terbaik di Malaysia.
Keunikan suara Saleem pernah menjadi kegilaan remaja pada waktu itu. Kini, fasa hitam yang pernah dilalui bersama sudah berlalu. Iklim kembali bersatu setelah 11 tahun menyepi bersama anggota yang asal.
Mereka semua sepakat untuk kembali bagi melaksana dan meneruskan impian yang terhenti seketika sebelum ini. Beberapa perancangan diatur Iklim bagi menyemarakkan kembali nama mereka antaranya merakamkan satu single terbaru ciptaan anggota Iklim sendiri.
Malah, kumpulan itu juga akan tampil dengan beberapa siri konsert serta impian beraksi di Istana Budaya. Pada 7 Mac depan, Iklim akan menggegarkan pentas di Marina Bay Muar, Johor. Acara itu pasti menjadi sejarah baharu buat Iklim, mereka akan bersatu seperti dahulu.
Konsert itu yang dianjurkan Empire Iklim dan ML Capital Sdn Bhd, akan berlangsung pada jam 8.30 malam. Konsert itu dirancang selepas sebulan mereka sebulat suara untuk kembali berganding bahu memperjuangkan seni Iklim.
"Kami semua tidak sabar menantikan tarikh 7 Mac. Kami rindukan peminat yang dahulu. Mungkin mereka semua sudah berkeluarga dan ada anak seperti kami. Jadi bawalah anak generasi baru ini untuk lihat persembahan 'otai' rock. Kami juga ingin melihat reaksi anak muda hari ini terutamanya peminat muzik rock sama ada mereka boleh menerima rock daripada kami atau tidak," ungkap gitaris Iklim, Umarul.
Selaku vokalis utama, Saleem amat berharap dengan kembalinya Iklim hari ini ia dapat menjadikan satu teladan kepada kumpulan yang baru muncul di arena seni.
"Bukan senang untuk bersatu secara utuh, kadang kala pasti ada yang berkecil hati atau terasa dengan tindak tanduk sesama anggota. Jadi kepada adik rockers yang baru nak bermula pastikan kita kena sentiasa bertolak ansur sesama anggota kumpulan," kata Saleem.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan tiket konsert berharga RM50 boleh mengunjungi kaunter yang dibuka setiap hari di Marina Bay Muar, Johor atau hubungi talian 012-7991428 atau 012-7991638.
Info mengenai konsert itu juga dipaparkan menerusi laman Facebook 'Empayar Iklim Official'.
0 Response to "Iklim kembali bersatu selepas 11 tahun menyepi"
Post a Comment