Depan Mata: Tidak selamanya roda di atas

blogger templates

Dulu dia yang beria-ia meluahkan hasrat mahu menimba pengalaman bekerja dengannya. Bagaimanapun, apabila diberi peluang berlakon dalam filem arahannya iaitu Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, begini pula jadinya.
Tentunya sesuatu yang menggembirakan pengarah Mamat Khalid apabila pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak meluahkan hasrat ingin menimba pengalaman bekerja dengannya, tapi kini apabila filemnya siap dan bakal ditayangkan di pawagam, dia dan seorang lagi pelakonnya, Emma Maembong tidak mahu bekerjasama untuk mempromosikan filemnya.
Sebelum ini, Zizan pernah menimbulkan masalah apabila tidak hadir untuk sesi memasukkan suara (dubbing), menyebabkan produksi terpaksa memasukkan suara individu lain menggantikan Zizan.
Bagi memastikan Zizan dan Emma datang pada hari tayangan bersama media pada Khamis lalu, Mamat sanggup menganjak tarikh demi mengikut jadual mereka.
Begitu tingginya harapan Mamat untuk melihat mereka datang, tetapi akhirnya hampa apabila bayang kedua-duanya tidak muncul.
Tiada kata-kata yang mampu diluahkan Mamat selain menyalahkan diri sendiri. Malah, gara-gara sikap dua pelakonnya itu, Mamat juga tidak berhasrat mengadakan promosi jelajah untuk filemnya yang bakal menjengah pawagam pada 5 Mac ini.
Masalah ini bukan kali pertama dilakukan Zizan, malah banyak juga dengar cerita buruk mengenai disiplinnya sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.
Ketika itu, nama Zizan memang popular dan banyak tawaran berlakon hingga dijadikan alasan mengenai kegagalannya datang ke lokasi atau membantu promosi filem lakonannya. Antaranya, filem Mael Lambung arahan Ahmad Idham.
Selepas sekian lama, ingatkan masalah disiplin tidak lagi berlaku. Selain sibuk, mungkin masalah peribadi jadi alasan mengapa Zizan dan Emma tidak muncul.
Mungkin Zizan belum melalui zaman suram apabila dirinya tidak lagi diperlukan dalam industri. Hakikatnya selama ini, walaupun banyak cerita negatif mengenai disiplinnya, tawaran untuknya sama ada berlakon dan mengacara tetap banyak.
Apakah mahu berubah ketika tiada lagi orang mahu mengambilnya berlakon? Mungkin ketika itu sudah terlambat.
Jika kita tidak menghargai orang lain, mungkin satu waktu nanti orang lain tidak mahu menghargai kita lagi. Roda sentiasa berputar, ada waktu di atas ada waktunya di bawah.

Sumber Harian Metro

0 Response to "Depan Mata: Tidak selamanya roda di atas"

Post a Comment