Lakonan hebat Remy & Nadia Aqilah

blogger templates


Selain jalan cerita hebat bertemakan cinta dan dendam, kemunculan Remy Ishak menjadi daya penarik buat peminat untuk hadir menonton teater Sekuntum Mawar Merah yang berlangsung di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) bermula 26 Februari lalu hingga esok.
Teater terbitan Revolution Stage arahan Khairunazwan Rodzi ini buat julung kalinya menggandingkan Remy dan Nadia Aqilah yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam lakonan.
Remy yang melakonkan watak Rashid berjaya menunjukkan lakonan meyakinkan, sekali gus menghidupkan cerita yang dibantu Kirin Muhamad dan Mustaqim Mohamed serta pelakon pelapis dari Pelangi Chenta dan Projek BB.
Teater tulisan Khairunazwan sendiri diinspirasikan dari lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi nyanyian kumpulan Alleycats yang cukup popular.
“Saya puas hati terbabit dengan teater ini kerana karya, jalan cerita dan pembinaan wataknya yang menarik. Sesekali saya nak juga terbabit dengan karya seni sebenar dan bukannya berkonsep popular semata-mata.
“Sebagai pelakon saya kena mencari pengalaman baru dan tak boleh memilih sesuatu watak saja,” kata Remy.
Sekuntum Mawar Merah yang berlatar era 1980-an ditampilkan dengan unsur-unsur eksperimental dalam bentuk visual dan muzik menjadi wajah kepada pementasan yang dilakukan.
Penceritaannya dibuka dengan simbolik tarian dan penampilan seorang pemuisi yang menyanyikan lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi. Dari situ jalan ceritanya berkembang membabitkan pelbagai watak lain.
Rashid asalnya pemuda kampung yang berkebolehan menyanyi, diterima menjadi penyanyi kelab malam. Pada masa sama, dia tertarik hati dengan Mawar (Nadia Aqilah) yang juga menjadi penyanyi kelab serta perempuan simpanan.
“Cabarannya saya kena menyanyi dalam teater ini, tapi saya suka dengan apa yang dibuat. Sesuatu yang baru rupanya menerima respon yang baik dari peminat dan buktinya mereka datang menonton sebagai tanda sokongan.
“Saya sendiri dapat rasa keseronokannya kerana ia berbeza dengan lakonan dalam teater Takhta Tiga Ratu yang berlangsung pada hujung Disember lalu. Kepuasan berlakon teater kecil begini sukar digambarkan,” katanya.
Ditanya perkembangan terbarunya, Remy berkata, dia akan tampil dengan filem Pilot Cafe yang akan ditayangkan bulan depan selain program berkonsep travelodge berjudul Hala Tiga yang akan ditayangkan menerusi Astro First.
“Dalam program ini, saya bermotosikal seorang diri menjelajah beberapa lokasi menarik dalam negara yang belum diketahui oleh masyarakat umum. Program ini akan dibuat 13 episod, tapi hanya beberapa episod sempat disiapkan sebelum dihentikan seketika kerana bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada akhir Disember lalu,” katanya.

Sumber Harian Metro

0 Response to "Lakonan hebat Remy & Nadia Aqilah"

Post a Comment