Badan susut kerana jangkitan kuman - Shah Iskandar

blogger templates

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz menjelaskan bahawa penyusutan drastik berat badannya adalah disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru yang dialaminya baru-baru ini, bukan kerana mengambil dadah seperti didakwa pihak tertentu.
Sambil menyatakan beliau tidak terkesan dengan tohmahan yang dilemparkan, Shah menjelaskan jangkitan itu telah disahkan oleh doktor hasil pemeriksaan di hospital.
"Sudah menjadi lumrah industri hiburan untuk timbulnya gosip sebegini jadi saya enggan terlalu ambil pusing khabar angin yang saya tahu tak benar. Saya sendiri kurang pasti berapa kilo berat badan yang turun kerana sakit ini.
"Bagaimanapun saya maafkan pihak yang telah sebarkan gosip yang boleh memusnahkan karier saya itu. Mungkin dalam tak sedar saya ada membuatkan pihak itu marah atau kecewa tetapi bukan cara saya untuk mengaibkan orang kalau saya sendiri yang marah atau kecewa kerana saya tidak dibesarkan begitu.
"Pada mulanya saya sendiri tidak menerima hakikat yang saya sakit kerana terlalu fokus pada kerjaya. Namun akhirnya saya mengalah dan diarahkan untuk dikuarantin selama tujuh hari. Itupun saya minta kebenaran daripada doktor untuk dikuarantin di rumah sendiri," katanya kepada BH Online hari ini.
Shah kini menjalani drama bersiri 30 episod berjudul BIB terbitan Zeel Production untuk saluran HyppTV.
Jejaka berusia 33 tahun itu memegang peranan sebagai teraju utama di samping Ika Nabila.
Shah juga baru saja selesai penggambaran drama bersiri Nasuha arahan Shuhaimi Lua yang bersiaran setiap Selasa dan Rabu jam 8.30 malam.
Shah memegang dua watak antagonis dan protagonis yang menampilkan kelainan dalam drama bersiri itu. Pelakon kulit sawo matang itu juga telah dicalonkan top 5 Pelakon Lelaki TV Popular untuk ABPBH14.
"Dicalonkan bersama pelakon berbakat besar seperti Aaron, Adi dan Sharnaz sudah cukup bagi saya simpan sebagai kenangan untuk diceritakan kepada cucu-cicit saya nanti," katanya sambil tertawa apabila ditanya mengenai harapannya untuk kategori itu.

0 Response to "Badan susut kerana jangkitan kuman - Shah Iskandar"

Post a Comment