DNA Liza: Masih mencari imej sesuai

blogger templates
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,Pada 26 Februari lalu bertambah lagi setahun umur Liza.
Alhamdullilah Liza diberi peluang untuk bernafas lagi di bumi Allah SWT ini.
Tidak ada majlis besar-besaran untuk meraikan ulang tahun kelahiran kerana Liza lebih suka bersendirian dan memanjakan diri sendiri pada hari itu.
Liza ingin sekali mengambil kesempatan di ruangan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda yang memberi ucapan selamat hari lahir. Ia amat besar maknanya buat Liza.
Keesokan harinya Liza berkesempatan menjalani pengambaran untuk segmen Ops Seleb dalam Hot TV bersama bintang Indonesia Bunga Citra Lestari.
Bunga hadir ke Malaysia untuk mempromosikan single terbarunya berjudul Wanita Terbahagia yang sering kami mainkan di stesen radio Hot FM.
Liza suka melihat cara orang berjaya bekerja. Liza percaya bukan senang untuk menjadi siapa dia pada hari ini lebih-lebih lagi dia mempunyai pasukannya sendiri.
Bunga mempunyai pasukannya sendiri yang menyiapkan dia dari hujung kaki hingga hujung rambut. Jadi jika anda kagum dengan gayanya setiap kali muncul di khalayak ramai, ia seharusnya begitu kerana dia mempunyai penata gaya peribadi yang hebat.
Teringat nasihat yang diberikan Awal Ashaari apabila ditanya bagaimana untuk mendapatkan imej diri yang terbaik.
Kata awal, dia suka bereksperimen dengan gaya yang ada dan akhirnya nanti kita akan mendapat gaya yang terbaik untuk diri kita sendiri.
Mengambil contoh isterinya Scha Al-Yahya yang menjadikan selebriti antarabangsa seperti Cameron Diaz sebagai idola dalam setiap gayanya, tidak kiralah ketika di waktu santai atau ketika melalui karpet merah.
Nasihat yang diberi Awal itu sedikit sebanyak membuka mata Liza. Tidak salah rasanya kita mengambil contoh selebriti barat dalam soal fesyen dan kita olah sedikit supaya ia sesuai dengan adat timur yang sudah sebati dengan orang kita.
Sebenarnya hingga hari ini Liza masih tercari-cari imej yang sesuai dengan kerjaya dan personaliti Liza.
Imej yang sesuai boleh meningkatkan keyakinan diri kita, tidak kira apa profesion yang kita lakukan.
Untuk anda yang menanti episod Liza dan Deen bersama Bunga Citra Lestari, tunggu dan nantikan kami dalam Hot TV yang kini lebih segar dengan wajah baru setiap Selasa jam 10.30 malam di TV9.
Bunga juga ada berkongsi sesuatu yang eksklusif de­ngan kami di Hot TV. Tunggu!
Jumpa lagi minggu depan.



Sumber Harian Metro

0 Response to "DNA Liza: Masih mencari imej sesuai"

Post a Comment