Selama dua dekad menghiburkan peminat dalam industri seni tanah air cukup mematangkan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 36, dan menjadikannya sebagai seorang yang bersikap terbuka.
Ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan dia kini antara wanita berstatus jutawan di Malaysia, Siti tetap memberi kerjasama walaupun enggan mengesahkannya.
Katanya, dia tidak mahu dikaitkan lagi dengan dakwaan itu.
“Kalau boleh saya tidak mahu lagi berbicara mengenai dakwaan ini. Namun, apa yang boleh dikatakan saya masih belum sampai pada tahap dilabelkan itu (jutawan).
“Bagaimanapun, saya akan terus berusaha sehingga berjaya kerana semua ini tidak datang bergolek. Sebagai manusia biasa, usaha adalah tangga kejayaan,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Muzika Nusantara di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur kelmarin.
Berbicara mengenai kariernya, Siti berkata, beliau kini sibuk dengan persediaan menjayakan Muzika Nusantara yang akan berlangsung di IB pada 13 dan 14 Mac ini jam 8.30 malam.
Muzika Nusantara yang dianjurkan buat kali kedua di IB turut menampilkan artis terkenal Indonesia seperti Krisdayanti, Tegar termasuk penyair ternama dari negara jiran itu, Senator Rafli Kande.
Tidak ketinggalan penyanyi era 80-an tanah air, Dwen juga diundang menghiburkan penonton pada persembahan yang dijangka berlangsung hampir dua jam itu.
Persembahan dua malam itu turut diiringi barisan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang pastinya menjanjikan hiburan yang hebat.
Ditanya juga mengenai perancangannya untuk Muzikal Istimewa Siti Nurhaliza yang akan dipentaskan IB pada November nanti, Siti berkata, sekarang ia masih dalam proses persediaan teliti.
“Saya tidak gemar membuat kerja secara terburu-buru. Namun, tak dinafikan kini segala perancangan masih dalam persediian dan diatur sebaik mungkin.
“Memandangkan muzikal ini nanti memuatkan perjalanan kisah hidup saya berjuang membina nama dalam industri seni sejak persekolahan, ia memerlukan jalan ceritanya diatur kemas.
“Terlalu banyak kenangan indah pernah saya lalui dari dulu sehingga sekarang yang begitu mematangkan. Bagi saya, cukup istimewa,” katanya.
Mengenai single baru pula, Siti berkata, kini beliau menunggu masa untuk masuk ke studio membuat rakaman lagu baru, Mikhraj Cinta ciptaan Hafiz Hamidun.
Mahu memberi fokus muncul secara single satu persatu mengikut situasi pasaran muzik masa kini, Siti berkata, projek lagu Mikhraj Cinta adalah kerjasama kali pertamanya dengan Hafiz.
Siti berkata beliau tertarik dengan single Mikhraj Cinta itu kerana ia lagu ketuhanan yang liriknya begitu indah selain hasil kerja seni Hafiz juga dilihat sangat kreatif dan bersungguh-sungguh.
Sumber Harian Metro
0 Response to "“Belum sampai tahap jutawan”"
Post a Comment